Jumaat, 30 Disember 2022

Selamat Hari Lahir buatmu Sayang mama!

Tanggal 30 Disember 2022, genaplah Hasif sebelas tahun. Pelbagai rasa sebagai seorang ibu kepada anakanda sulung yang banyak mengajar erti kehidupan ini. Bukanlah mama mengejar dunia sehingga terlupa harta dan saham akhirat mama nan seorang ini, namun kadangkala sebagai manusia mama tiada daya untuk menongkah hasutan syaitan yang beraja. Maafkan mama, sayang.

Muhammad Hasif, 

Terima kasih kerana menjadi anak yang baik dan memahami walaupun kadangkala Hasif menjadi 'punca' kemarahan mama setiap kali Hasif buat dengar tak dengar sahaja apa yang mama katakan. 

Jadilah insan yang peka dengan sekeliling, sayang. 

Jika ada perkara yang perlu dibantu, hulurkan sahaja tanganmu tanpa berkira. Jika ada berlaku pergaduhan di antara kamu dan adik-adik, redhakan lah kerana kalian mempunyai talian darah yang sangat rapat. Kalian sahaja harta yang mama papa ada. Bantulah mama papa di akhirat sana nanti. Maafkanlah segala kesalahan mama buat Hasif dan adik-adik jika ada yang kalian tidak suka mama lakukan. Sesungguhnya tiada sedar mama lakukan perkara tersebut kerana ingin melihat kalian berjaya bukan sahaja akademik, malah akhlak, sahsiah dan juga ilmu akhirat.

Sayang mama,

Sempena hari kelahiranmu 30 Disember yang lepas, mama tidak dapat berikan hadiah yang mahal kerana krisis ekonomi yang sedang kita lalui. Maafkan mama,sayang. Allah sedang menduga keluarga kita.

Maka, mama papa hanya mampu dan cuba buatkan kamu gembira. Mama teringat abang ada katakan kepada mama sewaktu perjalanan ke Paradigm Mall JB bagi menebus hadiah kemenangan pertandingan mewarna abang bersama Utopia, "Mama, harini kan hari lahir Hasif. Hasif teringin la nak makan KFC. Mama boleh belikan?"

Mujur cik Siti belikan KFC untuk 'majlis' sambutan hari lahir abang dan anaknya,Zafran yang jatuh pada hari yang sama juga.

"InsyaAllah, cik Siti ada belikan KFC nanti."

Berseri-seri wajahmu ketika itu. Mama masih ingat dengan jelas. Senyuman Hasif mencairkan hati mama.

Sekembalinya dari Utopia, jam menunjukkan ke angka 12.50 walhal hari itu adalah hari Jumaat.

"Abang, sempat ke nak Solat Jumaat ni. Abang call papa ya. Beritahu papa pergilah dulu ke masjid, mama risau tak sempat sampai pada waktunya nanti."

Waktu itu muka abang muram.

"Mama, ni pertama kali Hasif tak dapat pergi solat jumaat pada akhir tahun."

Ya Allah! Benarlah, ini tahun terakhir dalam tahun 2022. Jadi mama mencuba sedaya upaya untuk sampai ke Taman Pulai Indah sebelum solat jumaat berakhir.

Allah Maha Baik, Maha Mengkabulkan segala permintaan hamba-Nya.

Tepat sahaja jam 1.20 petang, mama lihat orang berdiri seolah-olah baru hendak mulakan solat jumaat. Rupanya memang benar!

"Abang, orang baru nak mula tu. Nanti abang pergi sendiri dan solat je di mana-mana. Motor papa ada di sini. (kebetulan pula memang papa Hasif parking motor di hadapan masjid)"

Bercahaya kembali wajahnya kegembiraan.

Akhirnya, Allah kabulkan permintaan abang.
Utopia dapat, Solat Jumaat pun dapat.

Tidak berkahir di situ, lewat petang pula mama dan cik Siti buat majlis ringkas untuk abang.






Semoga memori indah sepanjang hari 30 Disember 2022 ini menjadi memori terindah buatmu, sayang.


Yang menyayangi kalian,

Mama

Ahad, 28 Ogos 2022

'Shooting' Dendang Syair

Alamak, tarikh akhir penghantaran penyertaan sudah menghampiri iaitu 30 Ogos 2022. 

Terfikir-fikir irama apa yang 'boleh' dibawa dengan suara yang tak berapa tinggi dan maktang yang tak cukup rehat ini ya.

Tambahan pula, berfikir pula tentang teks lirik mana yang sesuai dengan irama yang hendak dibawakan nanti.

Setelah beberapa hari berfikir (eleh, macam la ada harapan nak masuk separuh akhir pun. Haha. Berangan je la dulu.), akhirnya Yus memilih Irama Mayang dengan teks Syair Teladan Kisah Benawi (Si Tanggang)

Video?

Tiadalah di sini. Untuk penghantaran penyertaan kan. Hihi.

Nah, kita belanja gambar paparan skrin sahajalah ya. 


 #YusBersyair

#SyairNusantara


Kelas Edit Santai

Kisah pada 26 Ogos 2022 yang lepas.

"Jom masuk kelas malam ni."

Malam tersebut ada pelajar terpaling muda dalam kelas.

Hana pun nak jadi penulis ke?

Hihi...

Eh, mama nak mula kelas tu la dia bangun merengek. Tahu pula 'timing' nak bangun tu ya, Hana?


Lepas tu sampailah habis kelas duduk di pangkuan mama untuk majlis ilmu malam ni. Kita berdua 'masuk' Taman Syurga ye sayang.





Boleh jadi 'geng' mama menulis Kisah Hidup ya.


#BelajarMalam

#NHHMS

#JomBelajar

#YusTulis

Rabu, 17 Ogos 2022

Jurnal #17 : Bulan terang dalam rimba

 


Sepanjang minggu ini Yus melayan Netflix cerita drama Korea bertajuk 'Extraordinary Attorney Woo'. Cerita ini berkisahkan tentang seorang peguam Autistik yang sangat bijak.

Beliau menjadi seorang pelajar cemerlang di Universiti Seoul dalam bidang guaman. Namun begitu, atas sifat semulajadinya sebagai seorang autistik walaupun beliau sangat pandai dan bijak namun terdapat persaingan di antaranya dengan rakan sekerja.

Di akhir drama ini, ketua yang seringkali beliau berurusan (Peguam Jung) telah jatuh sakit dan digantikan dengan peguam senior yang lain bernama Peguam Jang. Namun begitu, penerimaan Peguam Jang kepada Woo Young Woo (peguam autistik) ini sangatlah tidak baik.

Kepandaian Woo seringkali dipandang enteng dan pernah juga digugurkan dari menyertai pasukan dalam satu kes disebabkan Peguam Woo menyatakan perkara yang betul! Betul-betul tidak dihargai.

Bagai Bulan terang di dalam rimba.

Kesian juga waktu ini. Menitis juga airmata yang rajin turun kebelakangan ini. Hihihi.

Begitulah.
Realiti kehidupan yang kadangkala kita tidak sangka akan berlaku kepada kita atau keluarga kita.
Kan?


Jurnal #16 : Bulan jatuh di ribaannya

 


Assalamualaikum semua.

Lama betul Yus 'peram' jurnal kali ini. Sudah hampir sepuluh hari juga Yus 'lari' sebentar dari menulis. 

"Yus ke mana?"
"Yus sihat tak tu?"

InsyaAllah ada sahaja ni. Cuma kekangan waktu untuk menulis dek Hana tidak berapa sihat. Memang mengadap dia sahaja la kerja mama dia ini.

--------
Peribahasa BULAN JATUH DI RIBAANNYA bermaksud beruntung besar.
--------

"Sejak Andika pulang dari luar negara, banyak betul yang diperolehinya."

"Sudahlah dapat kerja di syarikat yang besar dan bergaji besar, dapat pula memperisterikan anak Mufti Besar tu. Bagai bulan jatuh di ribaannya." bisik Mak Timah di telinga Kamisah.

--------

Contoh yang sangat ringkas dan mudab difahami. Eh, kalian faham ke faham ya? Hihihi...

Terima kasih kerana membaca ❤️

Salam sayang, 
Yusnorsyazana MY


Isnin, 15 Ogos 2022

Jurnal #15 : Seperti si buta kehilangan tongkat

 


Isnin lepas aku mengalami sakit kepal yang agak teruk sehinggakan aku tidak mampu untuk bangun. Pada pagi selepas anak-anak pergi ke sekolah, dengan segera aku memandikan Hana dan menguruskan diri sendiri sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Sempat menanak nasi dan membakar ikan dengan air fryer sahaja sebelum akhirnya aku terpaksa mengangkat 'bendera putih' dengan hanya berbaring.

Panadol?
Sudah.
Habbatussauda'?
Juga sudah.

Sepanjang aku bersalin tiga anak yang lepas, sepanjang waktu berpantang aku dilayan bagaikan puteri. Tenang dan berehat sesungguhnya. Namun berlainan kali ini. Aku hanya berkesempatan berpantang di rumah mak untuk tempoh masa dua minggu sahaja.

Apabila emak dan abah sudah pulang semula ke Kluang setelah menghantarku balik ke rumah JB pada Sabtu lalu, aku perlu menguruskan semuanya sendiri.

Bermula jam 7 pagi hingga 6.30 petang aku berdua sahaja bersama Hana.

Bagaikan si buta kehilangan tongkat sahaja ku rasakan. Sudahlah ditinggalkan sendirian dirumah, sering pula mengalami sakit begini selepas bersalin.

Mohon doa semua sahabat agar diri ini segera pulih ya. Seperti mabuk laut sahaja rasanya diri ini. Terasa di awang-awangan.

Begitulah.




Jurnal #14 : Bagai air mencari jenisnya

 


Alhamdulillah..
Setelah tiga hari hanya membuat hantaran gambar poster untuk tugasan peribahasa ini, baru berkesempatan untuk menulis berkenaan jurnal penulisan kali ini.

Ke mana Yus pergi dalam masa tiga hari?
Sejak balik ke rumah JB pada sabtu lepas (13/8/2022), terasa masa untuk menulis menjadi semakin terhad. Eh, mengapa pula?
Iyalah, apabila bertukar 'suasana', Hana pun menjadi tidak selesa dan menyebabkan dia tidak tidur lena dan kembung perut. Maka, mama pun jadi tak keruan jugalah! Hihi.

Ok, kita kembali kepada JP#14 ini.

BAGAI AIR MENCARI JENISNYA bermaksud berusaha untuk mencari ilmu dengan tidak berhenti-henti.

---------

Yus mula menceburkan diri dalam bidang penulisan secara serius pada Julai 2020 iaitu secara tidak langsung mendaftar sebagai peserta Bengkel Tulis Kisah Hidup Sri Diah bertempat di Pulai Spring Resort.

Waktu itu mendaftar bukanlah bertujuan untuk menulis buku sebenarnya. Daftar sebab rasa bersalah (hihi...alang-alang diminta bantuan untuk membuat kotak perasmian buku, jadi mendaftar sebagai peserta juga lah). Rupanya ia menjadi asbab untukku terjebak dalam bidang ini.

Sejak itu, aku mula mem'buru' ilmu penulisan. Semakin lama, semakin ramai 'circle' penulis di dalam senarai kenalan di Facebook. Daripada seorang guru kepada seorang guru lagi. Dan aku berasa seronok dalam pencarian ilmu yang sangat berharga ini. 

Pada mulanya, ku ingat ilmu penulisan ini seperti karangan di tingkatan lima dahulu. Rupanya ia lebih luas dan pelbagai genre yang ku selusuri dan pelajari. Semakin lama semakin teruja bagai air mencari jenisnya. Aku bahagia dengan cara ini. Berbeza apabila menulis dengan ilmu ini.

Ya, bahagia cara kita.
Mencari ilmu tidak kira usia dan tempat.
Di mana sahaja, bila-bila masa sahaja.

P/s : Ada yang bertanya, bila pula Yus nak sambung phd? Err...yang itu memang tak terjawab. Ada rezeki, adalah nanti. Buat masa sekarang, fokus kepada apa yang sediaada dahulu lah😅

Sabtu, 13 Ogos 2022

Jurnal #13 : Bagai gelegar buluh

 


Bagi seorang arkitek seperti Yus, gelegar amat penting dalam sesebuah pembinaan terutama di bahagian bumbung. Namun berbeza dengan tugasan jurnal penulisan hari ini. Walaupun ia nampak seperti 'biasa' namun maksudnya sangat luar biasa.

BAGAI GELEGAR BULUH bermaksud bercakap besar.

Haaa...kadang--kadang kita terdengar orang ada juga menggelarkan orang yang suka bercakap besar ini seperti "gedegang gedegung", berdentam dentum la macam tu.

Di persekitaran kita ini, memang terdapat orang seperti ini.

Berdentam dentum cakapnya, walhal hakikatnya alahai tidaklah seperti yang dikatakannya.

Yus teringat pada satu buku yang dibaca berkaitan kisah hidup seseorang. Pernah dia masuk ke hospital kerana masalah kandungan. Hampir dua bulan beliau 'menetap' di hospital tersebut. Pelbagai ragam manusia yang datang dan pergi dalam masa dua bulan itu dinukilkan di dalam buku tersebut.

Namun, ada satu situasi di mana ada 'jiran' katilnya yang suka bercakap besar. Dicanangnya suaminya seorang yang kacak menawan sehingga ada ramai wanita yang menggilai suaminya. Dengan lagak bersahaja wanita tersebut yang dikenali sebagai S (bukan nama sebenar) memberitahu rakan-rakan di wad bahawa suaminya seorang bekerja dan berpangkat tinggi di sebuah sekolah.

Pada suatu hari, suaminya datang ke hospital. Haaa..kalian pasti hendak tahu kan bagaimana dengan keadaan fizikal suami si S itu.

Rupanya si S ini hanya bercakap besar bagai gelegar buluh sahaja.

Hakikatnya, suaminya merupakan seorang pekebun sekolah dan rupanya tidaklah sekacak yang disangka. Alahai...sewaktu Yus membaca tu, terbit juga rasa kasihan kepada si suami S ini. Memang kasihan sungguh! Suaminya tidak tahu apa-apa pun apa yang dicanangkan oleh si isteri kepada orang di wad, tetapi si suami yang dipandang negatif oleh petugas dan rakan-rakan di wad. Memang tidak patut kan!

Mujurlah penulis bukan seorang yang peramah, lalu si S ini dilihat sebagai watak yang tidak penting dalam penceritaannya. Namun, apa yang Yus hendak nyatakan di sini, kita sebagai seorang isteri tidak perlulah mencanang apa yang bukan terdapat pada suami kita. Jagalah aibnya.

Begitulah.

Jangan kita menjadi bagai gelegar buluh. Berdentam dentum cakap, padahal tidaklah begitu.

Begitulah realiti hidup untuk dijadikan sebagai pengajaran kita bersama, InsyaAllah.


Susu Ibu : Bagaimana merangsang bayi jaundis menyusu?

 Sewaktu kelahiran Hasif (2011), Hayyan (2014) dan Haura (2017), Yus tidak menghadapi masalah bayi jaundis. Ada beberapa pendapat yang menyatakan bahawa ibu, bapa dan anak berdarah O sangat mudah untuk menyebabkan bayi mengalami jaundis.

Alhamdulillah, ketiga-tiganya tiada gelaja jaundis yang tinggi dan tidak perlu ke klinik untuk pengesanan kadar bilirubin.

Namun, berbeza dengan Hana. Pada hari kelima kelahirannya, jururawat mendapati dirinya kelihatan agak 'kuning' dan Yus diarah untuk ke Klinik Kesihatan Kulai Besar untuk pemeriksaan lanjut.

Sebagai seorang ibu, itulah yang akan menjadi kerisauan. Jika kadar bilirubin tinggi, bayi perlu tinggal di hospital untuk rawatan fototerapi. Jika tidak, perlu juga ulang alik ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan harian. Jenuh juga!

Maka, berdoalah Yus dan pelbagai kaedah yang dibuat untuk mem'bangun'kan Hana dari tidurnya. 

Antara rangsangan yang Yus lakukan untuk menyedarkan Hana untuk menyusu adalah seperti berikut :-

❤️ Pastinya kejutkan bayi terlebih dahulu. Biasanya Yus kejut setelah dua jam Hana tidur semula selepas menyusu.

❤️ Buka dan longgarkan bedung/selimut bayi

❤️ Buka sarung tangan/sarung kaki dan baju bayi (jika perlu) - sebab ada barut kan, jadi tak risau bayi dibuka baju.

❤️ Tegakkan kedudukan bayi

❤️ Gosokkan tapak tangan ibu kepada tangan, tapak kaki serta buat urutan lembut di kaki bayi (geletek).

❤️ Gunakan tuala yang dibasahkan (air biasa, jangan terlalu sejuk) dan lapkan di bahagian muka, tangan dan kaki bayi.

❤️ Sentuh bibir bayi dengan jari ibu (nak lihat rangsangannya kepada penyusuan)

❤️ Perah sedikit susu ibu dan letakkan di bibir bayi 

❤️ Berikan susu hindmilk kepada bayi (perah secara marmet dahulu (sedikit sahaja untuk keluarkan foremilk- susu awalan, sebelum payudara disuakan kepada bayi)

Jika semua percubaan kaedah di atas telah dibuat, ibu perlu pastikan agar bayi menyusu dengan baik dengan memastikan pelekapan dan posisi bayi menyusu adalah dengan kaedah yang betul.

Selamat mencuba!

Moga bayi kalian dihindari dari jaundis yang panjang ya!

Bayi hanya diberi SUSU IBU SAHAJA. Tidak perlu susu tambahan atau makanan tambahan atau air kosong pun.

Jumaat, 12 Ogos 2022

Jurnal #12 : Bagai aur dengan tebing

 

Yus percaya ramai pembaca yang sudah sedia maklum tentang peribahasa ini.

Iyalah, ia sering digunakan malah banyak juga sesi pembelajaran mengambil peribahasa ini sebagai contoh yang paling sesuai dikaitkan dengan hubungan kemasyarakatan.

BAGAI AUR DENGAN TEBING ini bermaksud sikap tolong menolong dan suka membantu orang lain (kerjasama di kalangan masyarakat).

Sebagai contoh situasi yang berlaku di taman perumahan Yus di Kluang ini.

Sejak tahun 1989 kami berpindah ke Taman Kluang Barat dari berek Mardi Kluang. Keluarga kami merupakan antara yang terawal berpindah ke taman perumahan ini. 

Merasa juga kami bergelap dek tiang lampu masih belum terpasang lagi. Maklumlah baru sangat lagi kan. Terdapat beberapa keluarga sahaja yang baru turut berpindah ke situ.

Dengan tautan ukhuwah yang dihulur, kami semua menjadi rapat. Segala aktiviti di taman terutama di Jalan 19 kami lakukan bersama. Kenduri kahwin, kenduri doa selamat, majlis MaulidurRasul, semuanya dijalankan secara bergotong royong.

Boleh dikatakan semua adik beradikku berkahwin dengan kaedah gotong-royong bersama jiran tetangga.

"Kau buat resipi A."

"Takpe kak Yah, saya buat resipi B."

"Nanti saya bawa dari rumah resipi C."

"Haaa...nanti Ibu buatkan gubahan untuk meja pengantin."

Begitulah rapatnya kami semua.

Bagai aur dengan tebing. Bertautan bersama dalam segala aktiviti kejiranan.

Ahamdulillah. Ukhuwah ini berlanjutan sehingga kini walaupun sudah semakin sedikit demi sedikit sudah pergi menghadap Ilahi. Al-fatihah.


Khamis, 11 Ogos 2022

Jurnal #11 : Bagai gelombang dua belas

 


Sewaktu membaca peribahasa ini semamangnya agak mengejutkan. Dalam hati, apa pula contoh yang sesuai nanti kan. Maklumlah, nama pun jurnal penulisan, tidak moleklah jika kita hanya tinggalkan makna untuk dibaca. Haaa gitu😂

Hendak menjadi penulis, konsisten itu adalah resipi untuk berjaya. Haha. Moga istiqamah la daku ini.

Ok, berbalik kepada peribahasa kali ini. Maksud dia pun agak 'wow' juga walaupun peribahasanya agak ringkas. 

BAGAI GELOMBANG DUA BELAS maksudnya kehebatan langkah dari seorang pendekar.

Haaa..'wow' kan maksudnya tu.

Alang-alang bercerita ni, tempoh hari Yus buka facebook. Punyalah 'scroll newsfeed' sekali ternampak satu hantaran dari rakan fb ni.

Yus sebenarnya sangat berbangga dengan rakan-rakan yang menyantuni aktiviti anak-anak selain daripada aktiviti di sekolah. Sejak pindah ke Johor Bahru, Yus seakan ke'letih'an untuk menyantuni aktiviti anak-anak. Aduhai, maaf ya anak-anak. 

Oh ya, hantaran rakan fb tu menunjukkan anaknya yang baru belajar bersilat dan membuat persembahan di khalayak ramai.

Bagai gelombang dua belas langkah anaknya itu. Bukan seperi anak yang baru belajar, tetapi tangkasnya dia mengatur langkah itu benar-benar mengasyikkan. Beberapa kali juga Yus ulang tayang. Suka betul!

Begitulah certot kali ini.

Moga anak rakan fb Yus tu meneruskan aktiviti silatnya itu supaya dapat menjadi pelindung diri serta keluarganya nanti. Aminn...

Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy.blogspot.com


Jurnal #10 : Bagai gembala diberi keris


Assalamualaikum semua.
Semalam aku betul-betul tak sihat. Sehinggakan JP Peribahasa no.10 ni tergendala. 

Mohon doa sahabat semua agar kesihatanku kembali pulih seperti sediakala ya. Maklumlah, demam orang berpantang (baca : bentan) ni bukannya sekejap, effect juga keseluruhan sistem badan ni.

Ok, sementara kepala masih ok (tak ting tong lagi) kita teruskan dengan peribahasa ini.

BAGAI GEMBALA DIBERI KERIS maksudnya pemberian yang tidak berfaedah. 

Contoh kisah hidup,

Pernah direzekikan emak dan abah dapat duduk bersama ngah di sebuah negara Eropah yang terkenal di serata dunia- Paris, Perancis. 

Mereka menetap di sana selama dua tahun dan aku juga dapat merasa duduk di sana sebanyak dua kali. Pertama kali selama tiga bulan sewaktu melawat emak dan abah pada cuti semester tahun 2004 dan kali kedua adalah pada tahun 2008 bagi program pertukaran pelajar selama 5 bulan.
 
Namun, cerita ini bukan cerita diriku, tapi kisah tentang emak.

Di Paris, ke mana-mana ngah pasti membawa bekal coklat sebagai makanan alas perut. Bukan sahaja ngah, maklah seisi keluarga juga berbuat demikian. Iyalah, untuk mendapat makanan halal bukannya mudah, jadi bagi menanti untuk mencari restoran ataupun kedai makan yang halal maka bekalan coklat adalah sebagai keperluan harian waktu itu.

Setelah dua tahun dan coklat menjadi sebahagian santapan sampingan di rumah mahupun di luar rumah, emak dan abah kembali ke tanahair. Sudah tentu aku adalah orang yang paling bahagia. Haha.

Walaupun sudah bertahun lamanya emak dan abah meninggalkan bumi Eropah, namun satu yang emak tidak gemar lagi sekembalinya ke Malaysia adalah COKLAT!

Suatu hari, aku membeli beberapa tin minuman coklat sebab ada promosi. Lalu setin ku beri kepada emak dan abah. Aku terlupa sangat emak sudah tak suka dengan coklat!

Beberapa bulan berlalu, aku pulang ke kampung dan mendapati susu coklat yang ku beri masih belum luak sekalipun.

"Kenapa susu coklat ni tak luak, mak?" tanyaku.

Lalu emak menjawab, "Adik pun tahu mak dah tak boleh nak telah coklat pun."

Sesungguhnya aku betul-betul terlupa!

Bagai gembala diberi keris. Rupanya pemberianku itu jika aku tidak pulang ke kampung dan 'tolong' habiskan, maka akan ke tong sampah lah nampak gayanya.

Begitulah. 

Jadi, pengajaran kepada diri aku juga.
Nak beri emak abah tu, ingatkan juga apa yang mereka suka dan tidak suka supaya pemberian kita tidaklah sia-sia jadinya.

Hihihi.

Ok, nak sambung menulis untuk JP seterusnya. Berhutang satu lagi ni. Chaiyok!

#JP10
#YusTulis

Rabu, 10 Ogos 2022

Demam Sewaktu Berpantang @ Bentan?

 


Hari ini sudah hari ke-21 berpantang melahirkan Hana. Namun, awal pagi tadi amatlah menyeksakan yang kurasa sepanjang berpantang ini.

Jam 4.30 pagi, tersedar. Hana hendak menyusu. Ku pegang hujung hidungnya, sejuk. Penghawa dingin yang dibuka merenggut sehingga ke tulang hitamku.

Lalu ku tarik selimut yang tebal lalu memeluk Hana. Kembali selesa si kecil itu.
Namun, kesejukan masih belum hilang dari tubuhku. Tiba-tiba ku rasa tersangat sejuk hingga menggigil. 

Lantas ku cari panadol di bakul ubat. Tiada.
Ku rasa payudaraku semakin sakit.

"Aku ni bengkak susu ke? Tapi hanya di bahagian tertentu sahaja yang sakit." desis hati kecilku.

Ku cuba melelapkan mata kembali. Payudaraku semakin sakit, badanku juga semakin terasa berbisa kesejukan. Tak boleh nak tutup mata!

Lantas ku bangun dan menutup penghawa dingin lalu membuka kipas untuk Haura. (Haura tak boleh kepanasan, Hana pula tak suka sejuk)

Aku bangun terus melangkah mencari panadol di luar bilik pula. Namun tidak ketemu. Aku ke bilik abah, meminta abah panadol.

Badan sudah semakin menggigil. Menggeletar seluruh badan. Tidak tertahan lagi. Aku menelan sebiji panadol dan terus berselimut. Mak menyapu param di seluruh tubuhku. Terasa panas dan selesa lalu ku tertidur.

Hana? 

Ku terpaksa biarkan sahaja dek diri sendiri pun aku tak mampu hendak uruskan waktu itu. Syukur aku masih berada di rumah mak abah. Mereka berdua yang uruskan anak-anak. Haura ke sekolah tadika dan Hana pula menyusu melalui susu perahanku yang ada di dalam peti sejuk.

Seharian ku terbaring dan sakit kepala.

Rupanya ku demam bentan. 

Aduhai. Waktu Haura dulu ku demam sebab kena hujan.

Waktu Hasif dan Hayyan ku demam disebabkan bengkak susu.


Begitulah.

Kalau dah nak kena. Bertabah saja lah. Menitis juga airmata dek kesakitan ini.

😌


Selasa, 9 Ogos 2022

Jurnal #9 : Bagai gulai lengkitang

 


Jurnal Penulisan hari ini diteruskan lagi dengan peribahasa yang seterusnya iaitu Bagai gulai lengkitang.

Eh, apa kena mengena lengkitang tu?

Lengkitang tu merupakan sejenis siput yang sedap dimakan tau. Emm..tapi apa pula maksud peribahasa ini?

Maksud peribahasa BAGAI GULAI LENGKITANG ini adalah perihal orang yang mahu menebus kejahatan diri tetapi kebaikan dirinya pula turut hilang. 

Contoh situasi :

Di sebuah taman perumahan, ada sepasang suami isteri yang sangat peramah dan baik hati. Si isteri bernama Rika manakala si suami bernama Saf.

Saf dan Rika mempunyai tiga orang cahayamata yang sedang meningkat remaja. Alhamdulillah, ketiga-tiga anak mereka semuanya boleh dikatakan sangat cemerlang di dalam akademik.

Walaupun Saf dan Rika telah mempunyai kerja tetap di dalam sektor kerajaan, namun mereka juga ada membuat pendapatan sampingan. 

Di kalangan sahabat handai dan keluarga, Saf dan Rika terkenal dengan sikap pemurah dan mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan bantuan. Hidup mereka bukanlah dalam kategori orang yang senang, tetapi mereka sering menyumbang ke dalam tabung sedekah di taman perumahan mereka.

Tetapi malang tidak berbau.

Perniagaan sampingan yang dijalankan oleh Saf dan Rika melalui orang tengah itu rupanya sebuah syarikat 'scammer' dengan kaedah penjualan emas secara atas talian.

Mereka ditangkap pada waktu lewat petang di sebuah restoran mewah ketika merancang bagi merancakkan lagi modus operandi mereka untuk meningkatkan 'sales'.

Penangkapan mereka diwar-war di media sosial dan juga akhbar. Rupanya kebaikan yang dibuat selama ini adalah untuk menutup apa yang mereka lakukan di luar kerja hakiki.

Bagai gulai lengkitang, musnah dan ranaplah seluruh kepercayaan sahabat handai dan kaum keluarga terhadap mereka. Persepsi bertukar kepada negatif.

 Dan akhirnya, mereka sangat menyesali di atas perbuatan yang mereka lakukan.

Nasi sudah menjadi bubur. 

Sana sini memperkatakan tentang mereka.

Begitulah.

Contoh situasi ini hanya contoh sahaja ya.

Ok, kita bertemu lagi nanti di dalam peribahasa seterusnya. Misi jurnal penulisan 30 hari di bulan Ogos.

Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

 yusnorsyazanamy.blogspot.com




Isnin, 8 Ogos 2022

Susu Ibu : Tempoh masa menyusukan bayi

Hana dah pandai 'pilih' payudara. Mama yang risau laaa hai. 

Kebiasaannya, Yus akan menyusukan Hana mengikut keperluannya. Jika dia tidur agak lama, Yus akan kejut dengan apa jua cara. (Buka bedung, buka sarung tangan dan kakinya, main-main di telapak kakinya. Dan jika Hana membuang air besar, Yus suka 'kacau' dia dengan mencuci dengan aliran air paip. Ha ha.

Jadi setelah Hana bangun, berapa lama pula tempoh masa untuk menyusukan Hana?

10 minit..
20 minit..
Sejam??

Ok, di bawah ini secara ringkasnya Yus kongsikan berapa lama kita perlu menyusukan bayi kita.

❤️ Menyusukan bayi sehingga kenyang dengan posisi dan lekapan yang betul.

❤️ Biarkan bayi menyusu di sebelah payudara sehingga kenyang sebelum dialihkan kepada payudara sebelahnya.

❤️ Sekiranya payudara yang belum disusukan itu mula penuh dan ibu berasa tidak selesa, disyorkan ibu untuk memerah susu di payudara dan disimpan untuk stok sekiranya ibu kembali bekerja.

❤️ Bagi ibu yang belum berpengalaman, digalakkan untuk menyusukan di sebelah payudara selama 20 hingga 30 minit sehingga bayi kenyang (biasanya bayi akan terus melepaskan puting dan tertidur) sebelum beralih ke payudara sebelah lagi.

❤️ Jika bayi kita suka menyusu sekejap sahaja di satu payudara dan melepaskan puting, ibu perlu membuatkan bayi sendawa terlebih dahulu dan berikan bayi menghisap di payudara yang sama sehingga dia kenyang.

Dah dapat tak poin yang Yus jelaskan di atas?

Jadikan sesi penyusuan kita bersama bayi lebih menyeronokkan. Sebab waktu ini sahaja 'bonding' kita yang sangat rapat bersama mereka.


Eh eh ehhhh Hana ni. Ni betul-betul 'milk addict!' hihihi.

Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
Kaunselor Laktasi
yusnorsyazanamy@blogspot.com

Kasih seorang kakak

Assalamualaikum.

Hari ini Nur Hadiya Hana berumur 19 hari. Setelah puas menyusu, dia tertidur di sebelah kakak (padahal Yus yang nak menyusu sambil berbaring - lebih rehat dan santai).

Bangun sahaja dari perbaringan, ada satu situasi yang sangat menyentuh hati.

--------

Masih Yus ingat lagi 'green light' yang diberikan oleh Haura pada bulan September 2021.

"Mama, Haura nak jadi kakak boleh tak? Mama bagi la baby girl satu." 

(Eh, dia main order je macam order makanan di kedai makan! Haha)

Eh, sebelum ni jika mama dekat dengan baby orang lain pun dia punya mengaruk tu jangan cakaplah, siap nangis teresak-esak. Tak mahu mama pegang dan dekat dengan baby. Tapi bila dia sudah berkata begitu, hairan juga mama.


"Eh, Haura ok ke? Kan Haura tak suka mama pegang atau dekat dengan baby." tanyaku hairan.

"Tak. Haura dah suka baby. Haura nak jadi kakak."

Doa anak kecil ini dimakbulkan apabila pada awal Disember doktor mengesahkan aku hamil 3 minggu. 

Allahu.

Dari awal ku mengandung sehingga kelahiran Nur Hadiya Hana, kakak Haura memang nampak betul sayangnya kepada adik. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui baby yang bakal dilahirkan itu adalah baby girl (walaupun mama bukanlah percaya 100% scan doktor tu) 😂😅

Malam tadi,

"Haura nak tidur atas katil dengan Hana."

Kesian. Oklah, mama beri juga tetapi dia di sebelah belakang mama. Kang adik terbongkang bawah katil siapa nak jawab😅


Ni dia balik sekolah, pasti mencari adik Hana.

Dapat tidur sebelah adik Hana, seronok sangatlah dia.



Hmmmm..tengok je la gambar tu.

Kain batik (dia panggil nanin) dia x lepas, tidur sambil duduk pun boleh tepuk kepala adik supaya adik tidur lagi.

Ehhhhh...sebak pula mama.

Moga kasih sayang kalian hingga ke syurga-Nya. Mama sayang semua.


Jurnal #8 : Bagai itik pulang petang

 


Bertemu lagi kita di dalam Jurnal Penulisan ke-8. Ini bermaksud hari ini merupakan hari ke-8 di dalam bulan Ogos. 08.08.2022.

Cantik betul nombor hari ini kan? Alahai posternya pun comel (haha..masuk bakul angkat sendiri nampaknya.)

Dengan nombor yang cantik ini, kita bawakan peribahasa berbunyi BAGAI ITIK PULANG PETANG yang bermaksud seseorang yang berjalan lambat.

--------

"Eh, saya dah lewat nak hadiri mesyuarat petang ni. Akak nak tumpang sekali ya?"

"Haah, boleh kan?"

"Boleh saja. Lagipun kereta ni kereta pejabat, mestilah untuk kegunaan bersama."

Setelah beberapa minit menanti di dalam kereta.

"Mana pula akak ni. Dah lambat ni."

Lantas tangan terus mendail nombor telefon akak X.

"Jom kak. Yus dah di kereta ni."

"Ok kejap ya."

Dari kejauhan aku melihatnya berjalan bagai itik pulang petang. Ya ampun, lemah gemalai lenggangnya.

Aku tersenyum. Sungguh unik Allah jadikan setiap ciptaanNya. Pelbagai sifat semulajadi yang menjadi rencah kehidupan.

Walaupun terlewat menghadiri mesyuarat pada petang itu, namun Allah sangat baik. Sesampainya kami di pintu hadapan bilik mesyuarat itu, ia masih belum bermula!

Alhamdulillah.

-------------

#JurnalPenulisan

#Peribahasa

#YusTulis

Jurnal #7 : Bukan kudis dibuat pekung

 


Assalamualaikum.

Jurnal Penulisan Ogos dengan peribahasa ke-7 iaitu BUKAN KUDIS DIBUAT PEKUNG

Maksudnya bukan perkara atau kesilapan kecil yang diperbesar-besarkan.

Daripada peribahasa ini, sememangnya bahasa melayu dahulu sangat kaya dengan kiasan dan adab. Untuk menyatakan maksudnya juga berlapik, pastinya keindahan bahasa melayu perlu dijulang ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk peribahasa ini, Yus bawakan contoh realiti yang sering berlaku kepada kita. Kadangkala situasi yang berlaku ini boleh mencetuskan perasaan rendah diri ataupun sikap saling membenci kepada mereka yang mula bersangka-sangka seperti bukan kudis dibuat pekung ini.

Suatu ketika, kita terlepas pandang terhadap sesuatu perkara (kerana ia suatu perkara yang sangat kecil dan mudah terlepas pandang dari mata kasar). 

----------
Contoh situasi : 

"Kau buat kerja macam mana ni? Selalu buat salah. Kalau kau yang 'handle' je, mesti ada silap. Aku nak lukisan yang belum tender ni nanti semua PPS kena semak sebelum hantar ke QS."

Begitu rendah, diri si Y diletakkan.

Walhal apabila disemak, terlalu sedikit kesilapan yang dibuat. Bukan sekali, malah berkali-kali semakan dibuat. Bukan sahaja di kalangan pasukan, malah semakan dibuat bersama pihak pelanggan juga.

"Mana ada banyak silap. Semua dah semak. Kita pun sudah buat pembetulan mana yang pihak pelanggan minta betulkan." jawab rakan sekerja yang juga pening dengan sikap ketua yang seorang ini.

"Iyalah. Kalau kerja di bawah si Y, memang banyaklah silap. Cuba kerja di bawah X atau Z, silap sedikit pun tidak nampak. Bukan kudis dibuat pekung. Begitulah." Kadangkala si Y cuba menyedapkan hati.

Kesimpulannya jika kita menjadi ketua, jadilah ketua yang adil. 

"Be a leader, not a boss."

P/s : Cerita ini rekaan semata-mata sebagai contoh menguatkan peribahasa ini.

----------

Hihihi...benda yang kecil diperbesar-besar. Walhal semua boleh diselesaikan dengan perbincangan dan santun antara satu sama lain. Barulah apa yang dilakukan lebih ikhlas dan gembira.

Chill.

Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
yusnorsyazanamy@blogspot.com




Ahad, 7 Ogos 2022

Pen Kesayangan

"Haura, mana pen mama?"

"Mana Haura tahu. (sambil matanya melilau mencari pen mama)

"Tadi kan Haura main pen mama. Adui, terbengkalai lagi la sketching mama ni." Walhal mama memang nampak dia main dengan pen kesayangan mama tu. Ke mana la dia campakkan pen tu. Haih!


Sehingga hari ini, mama pun terasa pelik ke mana perginya pen kesayangan mama tu. Ballpen je pun, tetapi mama sayang betul! Itu satu je mama bawa balik kampung.


Punyalah mencari, masih tidak berjumpa.

Nampak pula pen mata gel atuk. 

"Bolehlah ni."

Walaupun 'feeling' dia kurang sikit berbanding ballpen K-One tu, tapi okaylah untuk percubaan pertama kali di jurnal book ni.


😂😅


#YuszArt

#YusContengConteng

#jemarikerasku

Sabtu, 6 Ogos 2022

Jurnal #6 : Bulat segiling pecak setapik

 

















Alhamdulillah..Hari ke-6 bersama Jurnal Penulisan Ogos. Semoga istiqamah hingga ke akhirnya.

Peribahasa pada hari ini adalah BULAT SEGILING PECAK SETAPIK.

Siapa di antara pembaca yang pernah mendengar peribahasa ini? Secara jujurnya, Yus baru pertama kali juga mendengar peribahasa ini. Hihi. 

Okay, peribahasa BULAT SEGILING PECAK SETAPIK bermaksud telah benar-benar sangat sepakat. 

Kebiasaannya, peribahasa ini dikaitkan dengan kesepakatan di antara beberapa pihak bagi sesuatu perkara. Contohnya seperti situasi di bawah.

"Puteri, tadi pihak Putera datang meminang Puteri. Ibu harap Puteri menerima ya."

Puteri tersenyum tersipu-sipu malu. Malu tu kan 'tanda' setuju. Hihi.

"InsyaAllah ibu, Puteri terima."

"Alhamdulillah. Ibu dan Abi berdua pun bulat segiling pecak setapik. Lagipun Putera tu sangat baik budinya."

Haaa...itu contoh yang mudahlah. 

Moga perkongsian ini bermanfaat untuk kalian juga.

Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com

#Jomtulis

#YusTulis

#JurnalPenulisanOgos




Susu Ibu : Simpanan Susu Perahan



Alhamdulillah...hari ini masuk hari ke-17 berpantang. Bermaksud Nur Hadiya Hana juga sudah berumur 17 hari.

Sekejap sahaja masa berlalu. Anak yang diusung di dalam kandungan selama 37 minggu ini bersama pelbagai cabaran yang dibawa bersama (kencing manis, plasenta previa, tekanan darah rendah) telah selamat lahir ke dunia.

Okay, berbalik kepada topik asal hari ini iaitu BAGAIMANA MENYIMPAN SUSU PERAHAN.

Di dalam hantaran sebelum ini berkenaan 'Perlukah memerah sewaktu berpantang', Yus dah jelaskan mengapa perlu memerah walaupun bayi baru sahaja beberapa hari.

Bukan tujuan memerah (dalam waktu berpantang) untuk payudara menghasilkan susu melebih-lebih, cukup sekadar dapat keluarkan susu bagi sebab-sebab yang dinyatakan dalam post tersebut.

Apabila kita sudah memerah susu, bagaimana pula kita hendak menyimpannya? Yus kongsikan di bawah ini ya.

1) Susu yang diperah tersebut disimpan di dalam bekas yang sesuai (jumlah yang disimpan di dalam setiap bekas adalah mengikut kadar sekali bayi minum iaitu dua hingga empat auns)

2) Susu Ibu mudah dihadam. Bayi tidak akan minum dengan banyak dalam satu sesi penyusuan. Jadi perlu untuk ibu asingkan terus dalam jumlah yang sesuai dalam satu bekas.

3) Sekiranya kedua-dua payudara diperah serentak, susu tersebut boleh dicampurkan di dalam satu bekas yang sama. Contohnya, sebelah payudara dapat 2 auns dan sebelah lagi 2 auns. Jadi, dalam 1 bekas akan ada 4 auns.

Tips : Tinggalkan ruang udara sekurang-kurangnya satu inci di dalam bekas penyimpan susu kerana susu yang dibekukan akan mengembang.

4) Labelkan tarikh, masa perahan dan sekiranya perlu, tuliskan nama bayi (jika terdapat bayi lain di rumah pengasuh/taska yang menyusu ibu juga)

5) Susu yang diperah pada masa berlainan pada hari yang sama boleh dicampurkan di dalam bekas penyimpan yang sama. Syaratnya, kedua-duanya perlu disejukkan terlebih dahulu (suhu keduanya sama) sebelum dicampurkan.

6) Susu perahan boleh disimpan di peti sejuk yang ada di rumah / taska / tempat kerja.

7) Sekiranya tarikh ibu bekerja sudah hampir, susu yang diperah tidak perlu dibekukan. Memadai disejukkan di dalam chiller untuk kegunaan dalam masa terdekat.

Moga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada ibu-ibu berpantang di luar sana.

Ingat, perah dalam waktu berpantang bukanlah untuk 'oversupply', cukup sekadar keluarkan bagi mengelakkan bengkak susu.

Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
Kaunselor Laktasi

yusnorsyazanamy@blogspot.com

Jumaat, 5 Ogos 2022

Rezeki Jumaat : Drawing Contest

Alhamdulillah!

Harini bertarikh 5 Ogos 2022 bermaksud hari ini adalah hari pengumuman pemenang bagi pertandingan melukis anjuran MayPap Sdn.Bhd.

Lukisan bertemakan makanan tempatan Malaysia perlu dihantar sebelum 12.00 tengah malam 31 Julai 2022.

Sewaktu ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HSAJB) sebelum bersalin (12 Julai 2022 sehingga 23 Julai 2022) disebabkan oleh doktor mendapati kandungan Yus mengalami Plasenta Previa type III dan perlu ditahan di wad bagi pemantauan.

Disebabkan 'arahan' tiba-tiba tersebut, Yus diberi masa sehari sahaja (hari pemeriksaan di SCOG adalah pada 11 Julai 2022 bersamaan hari lahir suamiku) untuk bersiap-siap. Ada setengah bulan lagi untuk menyiapkan 'hasil kerja' bagi pertandingan melukis tersebut.

Bagi mengisi masa lapang selama seminggu itu, Yus bawa sekali peralatan lukisan. Maka, ketiga-tiga lukisan ini Yus lakar, lukis dan warna di meja sisi katil nombor 42, Wad Timur 3 HSA JB.

Alhamdulillah, antara tiga lukisan tersebut terpilih sebagai pemenang pertandingan yang dianjurkan! Pemenang semuanya hebat-hebat belaka. Hasil mereka memang 'superb'!





Subhanallah..
Alhamdulillah..

MasyaAllah..Tabarakallah..

Semoga ia akan menjadi inspirasi kepada Yus untuk berkarya.







Jurnal #5 : Bagai Hantu Makan Dedak




Jurnal Penulisan hari ini adalah berkenaan peribahasa 'BAGAI HANTU MAKAN DEDAK'.

Haaa...siapa seperti Yus? Pertama kali mendengar peribahasa ini.

Mula-mula seram juga apabila membaca peribahasa ini. Apa kena mengena hantu dengan dedak? Walhal jika secara logiknya, hantu itu kan 'syaitan'. Tapi apabila namanya pun peribahasa, pasti terdapat maksud di sebalik kiasannya.

Bagai Hantu makan dedak bermaksud bersungut-sungut dengan tiada tentu sebabnya. 

Yus teringat satu kisah ini, berlaku beberapa tahun yang lepas.

Aku berjalan dengan laju di sepanjang denai bersebelahan tasik di tempat kerjaku dahulu. Setiap pagi pastinya aku berusaha untuk datang awal dan berjalan sekurang-kurangnya 20 minit sebelum masuk waktu pejabat.

Berjalan sahaja. Tidak keluar dan tidak luak pun peluh di badan. Begitulah.

Suatu hari, ketika aku berjalan seperti rutin harianku, terdengar suara berbisik daripada orang yang melalui jalan yang sama ku lalui. Raut wajahnya berkerut-kerut, pastinya sedang menghadapi masalah atau isu di tempat kerja mahupun di rumah. Wallahu a'lam.

Sambil beliau berjalan, beliau turut bersungut-sungut tak pasti tentang apa dan siapa kerana tutur katanya tidak jelas di pendengaranku. Namun sudah cukup ku nilaikan dengan raut dan memek mukanya. Bagai hantu makan dedak rupanya waktu itu.

Sehingga sekarang, aku masih teringat-ingat dengan jelas wajahnya.

Mujur aku tidak kenal namanya. 

Biarlah. Moga selepas kejadian hari itu, beliau dinaungi dengan perkara yang baik-baik dan sentiasa berbahagia dengan kehidupannya.

Begitulah hidup ini, kadangkala kita suka bersungut dengan perkara yang remeh. Jika boleh diselesaikan, maka selesaikanlah dengan baik tanpa buruk sangka. Hidup ini jika kita pandang dengan sudut yang baik, maka baiklah ia dan jika sebaliknya, akan menjadi sepertimana yang kita fikirkan.

Ayuh! Terus pasangkan kekuda positif di dalam minda dan hati, InsyaAllah pasti hidup kita lebih seimbang dan harmoni. Kan?

Ok, bertemu lagi nanti di dalam jurnal seterusnya ya.

Salam sayang, 
Yusnorsyazana Mohd Yunos
yusnorsyazanamy@blogspot.com

#menulisdarihati
#YusTulis


Khamis, 4 Ogos 2022

Sulung vs Bongsu

 "Dik, mak ambil buku gambar ni kat rumah TKB."


Lalu ku ambil dan belek satu per satu helaiannya.

"Ya Allah, muka Hana seiras sungguh dengan muka abang Hasif yang ini."

Tak lebih tak kurang.

Cuma gambar ini versi lelaki lah! Dan juga gebu berbanding Hana yang kecil molek, girl kan. Hihi.


Haaaa...dah 'nampak' tak muka Hana bagaimana rupanya. Versi sedikit lembut dan kecil sedikit dari Hasif (di gambar ini).


MasyaAllah.


Sulung vs bongsu.

Sama rupanya.

😂


#NHHMS

#MHMS

#siblings






Jurnal #4 : Bagai air titik ke batu

 


Jurnal Penulisan hari ke-4 berkenaan peribahasa 'Bagai air titik ke batu'. Ia membawa maksud Kesukaran memberikan pengajaran kepada orang yang degil.

Ada sahaja situasi sebenar yang berlaku di sekitar masyarakat kita yang berkait rapat dengan peribahasa ini. Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja diri kita. Kadangkala ada sahaja perkara yang kita anggap ia betul sebetul-betulnya walaupun hakikatnya ia salah!

Sebagai contoh, ada di kalangan rakan kita yang kita anggap 'dia saja yang betul' (sambil mata ke atas, tangan ke bahu) haha.. Berbahas dengannya bagai air titik ke batu. Walaupun dirinya berbuat silap / kesilapan berlaku daripada pihaknya, namun takkan pernah dia mengalah.

"Ah, susah betullah kalau cakap dengan kau ni. Semua pun betul, tiada yang salah!" berang meraja di hati. Membengkak hati ini apabila kesilapannya tidak pernah diakuinya. Degil sungguh!

"Lain kali biar kena kepada dirinya, baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah." kata rakan yang seorang lagi. Sudah pasti sama-sama merasa apa yang aku rasa.

Begitulah.

Dunia ini kita dapat lihat pelbagai ragam manusia.

--------------------

Ada yang sangat baik.

Ada yang berpura-pura baik.

Ada yang kadangkala baik.

Ada yang sekejap baik, sekejap menyakitkan hati orang lain.

Ada yang degil tak mahu mendengar kata orang lain.

---------------------

Moga kita sentiasa zuhud dan mengelakkan diri dari bersikap bagai air titik ke batu.

InsyaAllah.


Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com



Rabu, 3 Ogos 2022

Kisah Haura

Sejak kelahiran Nur Hadiya Hana pada 21 Julai baru-baru ini, ku lihat Haura semakin matang (tapi semakin kuat rajuknya). hihi. Maklumlah sudah 5 tahun dia bergelar si bongsu, sepanjang 5 tahun itu juga mama menjadi BFF dia dan peneman tidurnya.

MasyaAllah, Haura anak yang sangat baik seperti namanya.

Nur : cahaya

Hafiya : sangat baik

Haura : wanita berkulit putih

Ada sebab Yus namakannya Haura. Di antara adik beradiknya, dia berkulit sawo matang dan sedikit gelap berbanding abang-abangnya. Jadi namanya akan mendoakannya. InsyaAllah <3

Berbalik kepada Haura, sebenarnya kisahnya terlalu banyak yang Yus kongsikan di media sosial Facebook, namun November 2021 mencatat sejarah hitam di mana Facebook Yus telah digodam dan telah di'blok' sehingga akaun tersebut tidak dapat dikembalikan lagi. Memang sangat sedih dan Yus kemurungan. Kesannya, jarang sekali Yus 'update' Facebook sehingga ada di kalangan sahabat yang telefon dan bertanya khabar kerana terlalu lama Yus berdiam diri dan menjauh dari Facebook.

Di sini Yus akan cuba untuk menukilkan secara ringkas tentang puteri ketiga yang comel ini.

Lahirnya pada 27 Mac 2017 secara pembedahan kerana kedudukan bayi secara melintang di dalam kandungan (tranverse lie). Berat sewaktu kelahirannya adalah 3.09kg. Menyusu susu ibu dari lahir sehingga umurnya 2 tahun. Nak wean-off terrrsangatlah senang (Ya Allah, ni betul-betul mama terharu). Mama perlu outstation dan perlu tinggalkannya selama 3 hari. Sekembalinya mama dari outstation, dia sudah menolak payudara untuk menyusu secara terus.

Allahu.

Wajahnya yang manis dan 'cheeky' membuatkan hati selalu terhibur.

Sedarinya lahir hingga ke umur 3 tahun, dia terlalu rapat dengan Kakya. Segalanya Kakya. Gambar-gambarnya pun Kakya lebih banyak ada berbanding mama. Begitulah keakraban mereka sehinggalah kami sekeluarga berpindah ke Johor Bahru.

Kini Haura menginjak ke umur 5 tahun.

Sudah pandai berdikari dan pandai membawa dirinya. Mudah berkawan dan mudah berinteraksi dengan orang lain. Hobinya yang suka mewarna (seperti mama la tu), memudahkan mama mendekatinya dengan hobi yang sama.

Mohon doa rakan pembaca supaya Haura membesar sebagai seorang khalifah yang solehah dan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi untuk ilmu dunia dan akhirat.


Mama sayang Haura hingga ke syurga.

Moga kita menjadi BFF selamanya <3















Sayang selalu,

Mama yang satu.

yusnorsyazanamy@blogspot.com

Selasa, 2 Ogos 2022

Jurnal #3 : Bagai inai dengan kuku

 


Jurnal penulisan yang ketiga membawa Peribahasa : Bagai inai dengan kuku 

Ia bermaksud : sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih)

Mendalam sungguh bunyinya kan. Wah wah wah!

Bagi seorang yang jarang sekali mempunyai rakan karib (seperti Yus), sebuah perhubungan antara sahabat di tempat kerja sekarang (S.H.Y) dan di UTHM dahulu (Y.A.F) merupakan sebuah hubungan yang sangat istimewa dan sering dirindu lebih-lebih lagi apabila tidak bersama mereka.

Sungguh!

Kami bagai inai dengan kuku.
Ke mana sahaja, pasti bertiga sehinggalah aku berpindah ke UTM, aku perlu mencari rakan yang baru yang boleh berkongsi rasa dan perasaan.

Jika di UTHM dahulu, aku tinggal bersama emak dan abah..Sudah pasti emak dan kakya menjadi 'sahabat sangat karib' ku. Di tempat kerja, kak Ana dan Faezah pula menjadi sahabat baikku.

Kini di UTM, sebelum aku dipisahkan dari Unit Senibina..adanya kak Yani dan Puan Sharon menemani aktiviti seharianku serta mengambil berat terhadap diri ini.

Allahu.

Sungguh, Yus rindukan kalian.

Seperti mengena pula peribahasa hari ini, bagai inai dengan kuku, sangat karib!

Begitulah.


Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com







PENYUSUAN SUSU IBU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

"Aku dah tak menyusukan. Buat apa nak tahu pasal susu ibu?" Alamak, selalu betul Yus dapat pernyataan begini. Iya, memang benar se...