Jumaat, 5 Ogos 2022

Jurnal #5 : Bagai Hantu Makan Dedak




Jurnal Penulisan hari ini adalah berkenaan peribahasa 'BAGAI HANTU MAKAN DEDAK'.

Haaa...siapa seperti Yus? Pertama kali mendengar peribahasa ini.

Mula-mula seram juga apabila membaca peribahasa ini. Apa kena mengena hantu dengan dedak? Walhal jika secara logiknya, hantu itu kan 'syaitan'. Tapi apabila namanya pun peribahasa, pasti terdapat maksud di sebalik kiasannya.

Bagai Hantu makan dedak bermaksud bersungut-sungut dengan tiada tentu sebabnya. 

Yus teringat satu kisah ini, berlaku beberapa tahun yang lepas.

Aku berjalan dengan laju di sepanjang denai bersebelahan tasik di tempat kerjaku dahulu. Setiap pagi pastinya aku berusaha untuk datang awal dan berjalan sekurang-kurangnya 20 minit sebelum masuk waktu pejabat.

Berjalan sahaja. Tidak keluar dan tidak luak pun peluh di badan. Begitulah.

Suatu hari, ketika aku berjalan seperti rutin harianku, terdengar suara berbisik daripada orang yang melalui jalan yang sama ku lalui. Raut wajahnya berkerut-kerut, pastinya sedang menghadapi masalah atau isu di tempat kerja mahupun di rumah. Wallahu a'lam.

Sambil beliau berjalan, beliau turut bersungut-sungut tak pasti tentang apa dan siapa kerana tutur katanya tidak jelas di pendengaranku. Namun sudah cukup ku nilaikan dengan raut dan memek mukanya. Bagai hantu makan dedak rupanya waktu itu.

Sehingga sekarang, aku masih teringat-ingat dengan jelas wajahnya.

Mujur aku tidak kenal namanya. 

Biarlah. Moga selepas kejadian hari itu, beliau dinaungi dengan perkara yang baik-baik dan sentiasa berbahagia dengan kehidupannya.

Begitulah hidup ini, kadangkala kita suka bersungut dengan perkara yang remeh. Jika boleh diselesaikan, maka selesaikanlah dengan baik tanpa buruk sangka. Hidup ini jika kita pandang dengan sudut yang baik, maka baiklah ia dan jika sebaliknya, akan menjadi sepertimana yang kita fikirkan.

Ayuh! Terus pasangkan kekuda positif di dalam minda dan hati, InsyaAllah pasti hidup kita lebih seimbang dan harmoni. Kan?

Ok, bertemu lagi nanti di dalam jurnal seterusnya ya.

Salam sayang, 
Yusnorsyazana Mohd Yunos
yusnorsyazanamy@blogspot.com

#menulisdarihati
#YusTulis


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PENYUSUAN SUSU IBU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

"Aku dah tak menyusukan. Buat apa nak tahu pasal susu ibu?" Alamak, selalu betul Yus dapat pernyataan begini. Iya, memang benar se...