Sabtu, 6 Ogos 2022

Susu Ibu : Simpanan Susu Perahan



Alhamdulillah...hari ini masuk hari ke-17 berpantang. Bermaksud Nur Hadiya Hana juga sudah berumur 17 hari.

Sekejap sahaja masa berlalu. Anak yang diusung di dalam kandungan selama 37 minggu ini bersama pelbagai cabaran yang dibawa bersama (kencing manis, plasenta previa, tekanan darah rendah) telah selamat lahir ke dunia.

Okay, berbalik kepada topik asal hari ini iaitu BAGAIMANA MENYIMPAN SUSU PERAHAN.

Di dalam hantaran sebelum ini berkenaan 'Perlukah memerah sewaktu berpantang', Yus dah jelaskan mengapa perlu memerah walaupun bayi baru sahaja beberapa hari.

Bukan tujuan memerah (dalam waktu berpantang) untuk payudara menghasilkan susu melebih-lebih, cukup sekadar dapat keluarkan susu bagi sebab-sebab yang dinyatakan dalam post tersebut.

Apabila kita sudah memerah susu, bagaimana pula kita hendak menyimpannya? Yus kongsikan di bawah ini ya.

1) Susu yang diperah tersebut disimpan di dalam bekas yang sesuai (jumlah yang disimpan di dalam setiap bekas adalah mengikut kadar sekali bayi minum iaitu dua hingga empat auns)

2) Susu Ibu mudah dihadam. Bayi tidak akan minum dengan banyak dalam satu sesi penyusuan. Jadi perlu untuk ibu asingkan terus dalam jumlah yang sesuai dalam satu bekas.

3) Sekiranya kedua-dua payudara diperah serentak, susu tersebut boleh dicampurkan di dalam satu bekas yang sama. Contohnya, sebelah payudara dapat 2 auns dan sebelah lagi 2 auns. Jadi, dalam 1 bekas akan ada 4 auns.

Tips : Tinggalkan ruang udara sekurang-kurangnya satu inci di dalam bekas penyimpan susu kerana susu yang dibekukan akan mengembang.

4) Labelkan tarikh, masa perahan dan sekiranya perlu, tuliskan nama bayi (jika terdapat bayi lain di rumah pengasuh/taska yang menyusu ibu juga)

5) Susu yang diperah pada masa berlainan pada hari yang sama boleh dicampurkan di dalam bekas penyimpan yang sama. Syaratnya, kedua-duanya perlu disejukkan terlebih dahulu (suhu keduanya sama) sebelum dicampurkan.

6) Susu perahan boleh disimpan di peti sejuk yang ada di rumah / taska / tempat kerja.

7) Sekiranya tarikh ibu bekerja sudah hampir, susu yang diperah tidak perlu dibekukan. Memadai disejukkan di dalam chiller untuk kegunaan dalam masa terdekat.

Moga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada ibu-ibu berpantang di luar sana.

Ingat, perah dalam waktu berpantang bukanlah untuk 'oversupply', cukup sekadar keluarkan bagi mengelakkan bengkak susu.

Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
Kaunselor Laktasi

yusnorsyazanamy@blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PENYUSUAN SUSU IBU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

"Aku dah tak menyusukan. Buat apa nak tahu pasal susu ibu?" Alamak, selalu betul Yus dapat pernyataan begini. Iya, memang benar se...