Rabu, 23 September 2015

11 Alasan Mengapa Bayi Masih Menangis walaupun telah Menyusu?

Teks : Yusnorsyazana Mohd Yunos

Apabila di dalam fasa berpantang selepas kelahiran bayi, ibu-ibu pasti berada di dalam keadaan yang sedikit letih ditambah lagi dengan kehadiran orang baru di dalam kehidupan seharian. Pastinya banyak yang perlu dipelajari (dalam erti kata lain, kehidupan ibu mula berubah dengan kehadiran orang baru) dan diselusuri kan?

Bila tiba waktu menyusu pula, kadangkala ibu menjadi kalut dengan kepelbagaian cara dan cabaran yang hadir dengan sendiri nya, Bagi ibu yang tidak mengalami sebarang masalah, Alhamdulillah. Tapi bagaimana dengan ibu yang menghadapi cabaran lebih-lebih lagi bayi anda masih menangis walaupun telah disusui dengan susu ibu dengan waktu yang lama! Bayi tetap menangis dan menangis. Ibu pula pasti kalut dan mula stress. Benar kan?

Ok, InsyaAllah kali ini saya nak kongsikan bersama dengan pembaca sekalian berkenaan MENGAPA BAYI ANDA MASIH MENANGIS WALAUPUN TELAH MENYUSU?

Tahukah anda? Bayi Menangis kerana Ingin Menyampaikan Sesuatu kepada orang di sekelilingnya.

Bayi menangis adalah NORMAL. Ya NORMAL ya.
Mereka masih tidak pandai bercakap dan menangis merupakan salah satu cara untuk mereka berkomunikasi dengan kita. Ingin memberitahu kita lebih-lebih lagi kepada ibunya tentang rasa dan sebagainya. Kan?

Jom kita lihat kembali apa yang menjadi penyebab mereka menangis ya?

1. BAYI ANDA DI DALAM KEADAAN TIDAK SELESA DENGAN PERSEKITARAN

Cuba anda lihat sekeliling. Adakah persekitarannya terlalu panas, sejuk atau biasa-biasa sahaja? Kadangkala perubahan suhu membolehkan bayi anda akan berasa kurang selesa dan akhirnya mereka merasa rimas dengan perubahan suhu tersebut.Mereka akan menangis walaupun sedang menyusu atau sebelum atau selepas menyusu. Contohnya waktu panas, kita pun kadangkala tidak selesa apatah lagi mereka yang selama ini 'duduk' di dalam 'tempat yang paling selesa' iaitu di dalam rahim ibu.

2. BAYI ANDA SAKIT

Bayi yang sakit kebiasaannya tidak selesa dengan keadaan badan mereka lebih-lebih lagi menyusu dengan keadaan hidung tersumbat dan terlalu panas. Cadangan terbaik adalah ibu menyusukan bayi dalam posisi sedikit menegak atau separa duduk.

3. POSISI PENYUSUAN PELEKAPAN SEMASA MENYUSU

Tahukah ibu-ibu semua bahawa posisi penyusuan juga memainkan peranan penting dalam memastikan penghasilan susu dan 'milk transfer' berjalan dengan baik dan efisien?

Sebenarnya, sekiranya ibu menyusukan bayi dalam keadaan posisi pelekapan yang tidak betul, ia akan menyebabkan bayi tidak mendapat keperluan susu yang mencukupi dan juga 'milk transfer' tidak dapat disalurkan dengan betul. Ini menyebabkan bayi akan menjadi lebih cepat lapar dan akhirnya mereka menangis kembali.

Selain itu, anatomi payudara ibu serta anatomi mulut bayi seperti lidah pendek (tongue tie), mulut bayi terlalu kecil juga mempengaruhi pengeluaran susu ibu. Sekiranya ibu mengalami puting tenggelam/puting rata, boleh lah mencuba kaedah ini.

permasalahan puting tenggelam

4. GROWTH SPURT (PECUTAN PERTUMBUHAN BAYI)

Kebiasaannya bayi akan mengalami pecutan pertumbuhan di umurnya 3 minggu, 9 minggu, 3 bulan, 6 bulan dan pada waktu-waktu yang tidak menentu. Apabila mereka di dalam fasa growth spurt ini, bayi anda akan sentiasa mencari puting ibu untuk menyusu!

Baca sini berkenaan GROWTH SPURT

Si ibu pula merasakan bahawa anak mereka tidak cukup susu dan juga si ibu sudah kekurangan susu! oh tidakkkk... Sebenarnya di dalam fasa ini, bayi memerlukan lebih banyak susu dan mereka akan menangis sekiranya supply yang dihasilkan tidak mengikut demand mereka.

Ibu-ibu jangan stress ya. Ini akan berlaku kepada semua ibu menyusu. Cadangan terbaik adalah ibu lebihkan sesi pemerahan serta direct feed untuk menambah demand bagi keperluan anak nanti. Teruskan menyusukan dan memerah ya! Lebihkan demand..

5. TIDUR BAYI TERGANGGU

Seringkali bayi akan tertidur semasa penyusuan. Namun begitu, faktor persekitaran seperti suara orang ataupun bunyi televisyen anda yang kuat membolehkan tidur mereka terganggu! Mereka akan menangis walaupun tadi mereka telah tertidur semasa menyusu.

Oleh itu, sekiranya anda mahu meletakkan bayi anda ke dalam coat bayi ataupun di atas tilam bayi, pastikan keadaan bayi tidak terkejut dan mereka tidur dengan tenang seperti di dalam dakapan ibu.

Al-maklumlah, mereka di dalam rahim kan selama 9 bulan!

6. BAYI MASIH INGIN MENYUSU

Kadangkala waktu penyusuan yang lama juga masih tidak dapat memberi kepuasan kepada bayi. Cuba ibu-ibu lihat rahang serta mulut bayi yang menyusu. Sekiranya mereka masih mencari-cari puting atau rahang mereka masih sedang dalam keadaan menelan susu ibu, maka si ibu masih perlu menyusukan bayi mereka sehingga bayi mereka melepaskan puting dengan sendiri.

7. BAYI INGIN PERSEKITARAN YANG BARU

Bayi juga seperti orang dewasa. Mereka perlukan persekitaran yang berbeza-beza bagi mengurangkan rasa bosan dengan hanya di satu tempat yang sama. bawalah mereka keluar bersiar-siar di tepi rumah ataupun menyusu di tempat yang berbeza-beza di dalam rumah. (jangan lama-lama di luar rumah tau kerana mereka mudah terdedah dengan jangkitan bakteria dan virus)

8. PERBEZAAN PENGELUARAN SUSU DI PAYUDARA

Kebiasaanya bayi mempunyai kegemaran terhadap satu-satu payudara ibunya. Kadangkala bayi akan menunjukkan kepuasan setelah menyusu di sebelah payudara (mungkin disebabkan susu yang lancar dan tidak terlalu 'oversupply' atau kurang) dan sebelah payudara lagi dibiarkan 'seperti anak tiri' aje kan (mungkin disebabkan payudara tersebut mengalami oversupply dan menyebabkan bayi sering tersedak/ kurang susu) menyebabkan bayi akan memilih satu payudara sahaja. Namun begitu, pemilihan sedemikian akan menyebabkan susu di sebelah payudara yang kurang dihisap itu akan mengalami kemeruduman susu dan akhirnya semakin kering.

Apabila bayi diberikan dengan payudara yang jarang diberi, maka susu pun kurang. bayi akan menangis kerana keperluan mereka tidak dapat dipenuhi dengan payudara tersebut.

Cadangan terbaik adalah menyusukan di sebelah payudara yang masih ada susu dan dalam pada masa yang sama ibu mengepam di sebelah payudara yang satu lagi (Tanderm nursing)

Pentingnya sesi pemerahan

9. BAYI TIDAK INGIN MENYUSU

Kadangkala bayi menangis bukan disebabkan mereka mahu menyusu, namun mereka hanya perlukan pelukan kasih sayang daripada ibunya. Peluklah mereka dan boleh juga menggendong mereka untuk merasakan mereka dekat dengan 'bau' ibu.

10. BAYI KEMBUNG

Bayi kembung perut. Ini biasa didengar kan? Ia juga selalu terjadi disebabkan oleh bayi hanya mendapat foremilk sahaja dan itu menyebabkan kandungan asid di dalam perut bayi adalah tinggi dan akhirnya menyebabkan kembung perut.

Sendawakan bayi dengan menyandarkan mereka di bahu ibu. Kebiasaan nya bayi akan sendawa disertai dengan sedikit muntah yang selalu disebut 'gumoh'. Ia akan menjadikan mereka lebih selesa untuk menyusu selepas itu.

11. BAYI KURANG TIDUR

Bayi yang menghadapi situasi kurang tidur akan sentiasa merengek dan tidak selesa lebih-lebih lagi apabila dipaksa menyusu. Tenangkan mereka dengan menepuk-nepuk lembut punggung bayi anda dan peluklah mereka. Setelah itu baru di'offer' payudara sambil mereka berkhayal dan tidur.

Dah nampak kan? Mengapa mereka masih menangis walaupun sudah menyusu. Mereka bukan sahaja menangis mahukan susu, tetapi mereka perlukan banyak sokongan daripada persekitaran terutama ibunya.

Semoga alasan-alasan di atas dapat memberikan ibu-ibu semua bertambah semangat untuk menyusukan si bayi..

Tanpa ilmu, ibu kecewa,
Dengan ilmu, ibu bahagia.

Salam sayang,

YUSNORSYAZANA MOHD YUNOS
Kaunselor Laktasi



Sabtu, 19 September 2015

BICARA INSPIRASI PSI : Srikandi Hasil Muar

Teks : Yusnorsyazana Mohd Yunos

Alhamdulillah..
Selesai program bicara inspirasi Penyusuan Susu Ibu bagi Ibu Bekerjaya di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Daerah Muar pada 15 September 2015 yang lalu.




Kisah panggilan bagi bicara santai ni bermula apabila salah seorang staf di situ terpanggil untuk bertanya pada yus tentang Kelas Penyusuan yang diadakan di area Batu Pahat/Muar. Al-maklumlah kan, yus bekerja di UTHM Parit Raja Batu Pahat. Kebetulan pula beliau terlihat post yus adakan Kelas Menyusu di Lunatots 29 Ogos lalu. Dan kebetulan juga beliau bertanya di post group Selat Tebrau Babywearers ( kelab gendong bayi Johor).

Maka, satu demi satu perancangan dibuat. Bermula dengan tarikh cadangan sehingga lah kepada penginapan semuanya dibincang bersama di alam maya. YA! Di alam maya (facebook- Terima kasih Facebook!)

Hebatnya aturan ALLAH..DIA permudahkan urusan kami. Walaupun pada mulanya hampir dibatalkan atas sebab-sebab tertentu, akhirnya ia dapat dilaksanakan juga. ALHAMDULILLAH..
Subhanallah! Ramai juga yang hadir walaupun tidak mengenali siapalah saya. Mereka memberi feedback yag positif dan memberi banyakkk cadangan untuk saya tambahbaik program di kemudian hari..Terima kasih kalian kerana masih tetap duduk walaupun jam sudah ke pukul 5 petang. Ya Allah hanya DIA tahu bagaimana gembira nya hati ini dapat berkongsi ilmu dengan mereka semua..

Syukur kepada Allah kerana memberikan saya peluang dan ruang untuk berkongsi ilmu yang saya ada dan saya mampu untuk kongsikan. Sesungguhnya berada di kalangan mereka sungguh membahagiakan saya.

Terima kasih daun keladi.
InsyaAllah ada rezeki kita ketemu lagi..♡♡♡

Ingat!
IBU MENYUSU ADALAH HEBAT!
Usaha itu Jihad..
Mencari Ilmu itu jihad..

Salam Qaseh sayang buat semua,

YUSNORSYAZANA
Kaunselor Laktasi

PENYUSUAN SUSU IBU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

"Aku dah tak menyusukan. Buat apa nak tahu pasal susu ibu?" Alamak, selalu betul Yus dapat pernyataan begini. Iya, memang benar se...