Selasa, 2 Ogos 2022

Jurnal #3 : Bagai inai dengan kuku

 


Jurnal penulisan yang ketiga membawa Peribahasa : Bagai inai dengan kuku 

Ia bermaksud : sangat karib (tentang orang bersahabat atau orang berkasih)

Mendalam sungguh bunyinya kan. Wah wah wah!

Bagi seorang yang jarang sekali mempunyai rakan karib (seperti Yus), sebuah perhubungan antara sahabat di tempat kerja sekarang (S.H.Y) dan di UTHM dahulu (Y.A.F) merupakan sebuah hubungan yang sangat istimewa dan sering dirindu lebih-lebih lagi apabila tidak bersama mereka.

Sungguh!

Kami bagai inai dengan kuku.
Ke mana sahaja, pasti bertiga sehinggalah aku berpindah ke UTM, aku perlu mencari rakan yang baru yang boleh berkongsi rasa dan perasaan.

Jika di UTHM dahulu, aku tinggal bersama emak dan abah..Sudah pasti emak dan kakya menjadi 'sahabat sangat karib' ku. Di tempat kerja, kak Ana dan Faezah pula menjadi sahabat baikku.

Kini di UTM, sebelum aku dipisahkan dari Unit Senibina..adanya kak Yani dan Puan Sharon menemani aktiviti seharianku serta mengambil berat terhadap diri ini.

Allahu.

Sungguh, Yus rindukan kalian.

Seperti mengena pula peribahasa hari ini, bagai inai dengan kuku, sangat karib!

Begitulah.


Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com







Hana dah 'bebas kuning'

 Alhamdulillah..

Alhamdulillah..

Alhamdulillah..


Rasa nak melompat kegembiraan tadi apabila nurse memaklumkan,


"Bacaan bilirubin anak puan dah ok. Dah boleh off temujanji untuk kuning ya."


"Teruskan penyusuan susu ibu ya."


Syukur ya Allah.


#AdikHana

#MamaDahBolehRehatPantangDiRumah

#TakPerluKeKlinikLagi


Gambar simpan sini buat kenangan๐Ÿ˜




Susu Ibu : Perlu Perah Susu sewaktu berpantang?


Salam semua!

Hari ini 2/8/2022 merupakan hari ke-13 aku berpantang selepas melahirkan baby Hana, anak keempatku.

Jam menunjukkan ke angka tiga pagi. Mata masih belum dapat dilelapkan dek kerana Hana 'mengejut'kan mama dari lena pada jam 1 pagi tadi. Aduhai. Burung hantu kejaplah kita.

Kali ini Yus nak berkongsi berkenaan susu perahan (susu ibu lah yang pasti, bukan susu lembu ya! Haha)

Bagi ibu yang sedang berpantang, lebih-lebih lagi masih di bawah satu bulan, sebenarnya masih belum perlu untuk memerah susu untuk dijadikan stok (setelah naik kerja nanti).

Ya, BELUM PERLU! 

Di awal kelahiran bayi, sebaiknya ibu-ibu menumpukan sepenuhnya pemberian susu ibu secara terus (direct feeding) kepada bayi. Ini bagi mewujudkan hubungan (bonding) yang rapat antara ibu dan bayi kerana penyusuan susu ibu berkait rapat dengan dua jenis hormon iaitu hormon prolaktin dan juga hormon oksitosin.

Jika bayi diberikan susu menggunakan botol atau apa sahaja kaedah selain direct feeding (kecuali atas sebab tertentu), hormon-hormon ini tidak dapat dialami oleh ibu-ibu.

Tetapi ada juga SEBAB KENAPA IBU PEELU JUGA MEMERAH SUSU KETIKA DALAM WAKTU BERPANTANG.

1) Susu dikeluarkan selepas menyusukan (mengosongkan payudara) bagi mengelakkan bengkak susu dan mengelakkan jangkitan payudara.

2) Bayi tidak bangun untuk menyusu dan payudara mulai bengkak dan sakit -wajib perah dan keluarkan segera (bagi mengelakkan ibu mengalami abcess dan boleh menyebabkan infeksi yang lebih kritikal)

3) Ketulan-ketulan susu sudah terasa di keliling payudara (perah segera dengan kaedah memicit lembut di bahagian ketulan tersebut)

4) Mengelakkan susu meleleh kerana terlalu penuh (membazir nanti..hihi)

5) Jika anak yang dilahirkan secara pramatang ataupun yang mempunyai masalah kesihatan, pemerahan susu ibu dapat mengekalkan penghasilan susu apabila anak tidak mampu menghisap payudara ibu secara terus (direct feeding)

Ok, sekarang sudah faham kan?
Perah apabila perlu sahaja.

Fokus kepada penyusuan secara terus dalam masa 1-2 bulan (sebulan sebelum naik kerja baru kita buat stok susu, itu pun jangan over supply). Jika tidak, susu kita akan dibuat siram pokok bunga saja๐Ÿ˜… 

Begitulah.

Hihi.

Hana oh Hana..punyalah seronok awak tidur sampai tak sedar diri. Payudara mama pun dah bengkak ni. Maka, nak tak nak mama kena keluarkan juga. Fuhhh lega!


Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
Kaunselor Laktasi

yusnorsyazanamy@blogspot.com

Jurnal #2 : Bagai jawi terkurung siang

Assalamualaikum semua pembaca yang sudi menjenguk blog Yus. Bagi jurnal hari kedua, peribahasa yang dicadangkan adalah BAGAI JAWI TERKURUNG SIANG.

Peribahasa ini membawa maksud orang yang tidak dapat bertindak sesuka hatinya kerana terkongkong dengan adat.

Sebagaimana keadaan Yus sekarang yang sedang berpantang (bersalin) anak ke-4, Yus lebih selesa berpantang di rumah emak. Alhamdulillah..Allah berikan emak kesihatan yang baik untuk menjagaku selama ku berpantang. Lagi satu, aku kan anak bongsu, melahirkan anak bongsuku juga. Hihi... 

Namun, bagiku berpantang dengan emak lebih mudah kerana kami sedarah. Kebiasaannya apa yang emak amalkan dan makan pada zaman berpantangnya, aku juga serasi amalkannya sehingga kini. 

Tetapi berbeza dengan orang lain (ku tidak selesa untuk menyebut namanya) caranya berpantang bagai jawi terkurung siang. Terkongkong dengan adat.

Itu tak boleh.

Ini tak boleh.

Alamak! Ni bukan kecaman, tetapi peralihan zaman ni kita boleh rujuk ramai pakar pemakanan dan juga nutritionist bagi penjagaan pemakanan sewaktu berpantang.

Dan yang paling penting, kita lihat dan rasa diri kita sendiri serta bayi kita, selesa atau tidak. Jangan main harung sahaja!

Begitulah.

Oklah, selamat berpantang bagi diriku dan rakan-rakan se'perjuangan' ๐Ÿ˜‚๐Ÿ˜…

Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com


Isnin, 1 Ogos 2022

Jurnal #1 : Bagai Kacang Direbus Satu

Alhamdulillah..

Kita mulakan Jurnal Penulisan Ogos dengan peribahasa BAGAI KACANG DIREBUS SATU.

Jika dibaca, ia membawa maksud melonjak kegirangan kerana mendapat sesuatu.

Situasi hari ini sangat 'kena' dengan apa yang berlaku kepada long.

"Umi akan datang rumah nenek setiap hari sebab nak jumpa Hana setiap hari." itu janji akak sulungku sejak aku pulang berpantang di rumah emak di Kluang.

Namun, hari ini long datang bersama 'hasil kerja' big book yang hendak ditambahbaik bagi pertandingan big book Prasekolah peringkat daerah Kluang.

Bagai kacang direbus satu, long teruja dengan penambahbaikan yang aku bantu di rumah sementelah dia pulang dari membeli barang yang diperlukan olehku.


"Adik, cantiknya! Itulah, kalau long buat sendiri mesti tak terfikir nak buat macam ni." katanya lagi dengan muka teruja. Haha.


"Mak ada tak bunga atau daun-daun kecil?" tanyaku kepada emak. Long tak berjumpa dengan keperluan yang satu ini di kedai yang dikunjunginya tadi.


"Ada tu, cari lah bouquet ke yang ada dalam bilik tu." 


Sememangnya ia rezeki long.

Dibantu oleh adik comel kesayangan dia ni (aku la tu), dan pastinya disokong oleh permaisuri hati kami (emak la tu).


Allahuakbar. Moga kasih sayang dan kegembiraan ini berpanjangan hingga ke syurga-Nya. Aminnn YRA.


Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com











Jurnal Penulisan Ogos




Sudah sekian lama blog ini ditinggalkan. Hampir empat tahun! Ya. Empat tahun.
Mengapa ini terjadi?

Ini mungkin disebabkan peranan facebook yang lebih mesra pengguna dan menjadi santapan mata harian menyebabkanku lebih cenderung untuk menulis di sana. (Alasan semua ni๐Ÿ˜‚๐Ÿ˜‚)

Terima kasih sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong penulisan Yus. Oh ya, sejak tahun 2020 Yus baru mulakan projek penulisan antologi bagi beberapa buah buku. (Yus akan buat entri khas untuk siri-siri antologi yang mempunyai karya Yus nanti)

Bermula bulan Ogos ini, Yus cuba untuk mula 'hidupkan' semula blog yang sudah bersawang lama ini. InsyaAllah.

Bagi seorang penulis, perlu konsisten menulis sekurang-kurangnya satu entri bagi tatapan mata pembaca. Nah, Jurnal Penulisan di bawah Uniknya Inspirasi Kisah Hidup Sri Diah pada bulan Ogos ini bertemakan PERIBAHASA.

Jom tengok apa tugasan sepanjang Ogos ini.


Jom kita menulis.
Menulis untuk kebaikan.
Menulis dari hati agar hati tidak mati.

InsyaAllah.


Minggu Penyusuan Susu Ibu 2022


Hari ini bermulanya bulan baharu di tahun 2022 iaitu bulan Ogos.

Ini juga bermakna minggu ini (1-7 Ogos 2022) merupakan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.

Tema WBW (World Breastfeeding Week) pada tahun 2022 ini adalah "STEP UP FOR BREASTFEEDING : EDUCATE & SUPPORT"

Jom semua, berikan sokongan kalian kepada semua ibu menyusu tidak kiralah ibu menyusu berkerjaya ataupun suri rumahtangga.

Sesungguhnya kalian semua hebat!


Sayang selalu,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

Kaunselor Laktasi


PENYUSUAN SUSU IBU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

"Aku dah tak menyusukan. Buat apa nak tahu pasal susu ibu?" Alamak, selalu betul Yus dapat pernyataan begini. Iya, memang benar se...