Isnin, 8 Ogos 2022

Jurnal #8 : Bagai itik pulang petang

 


Bertemu lagi kita di dalam Jurnal Penulisan ke-8. Ini bermaksud hari ini merupakan hari ke-8 di dalam bulan Ogos. 08.08.2022.

Cantik betul nombor hari ini kan? Alahai posternya pun comel (haha..masuk bakul angkat sendiri nampaknya.)

Dengan nombor yang cantik ini, kita bawakan peribahasa berbunyi BAGAI ITIK PULANG PETANG yang bermaksud seseorang yang berjalan lambat.

--------

"Eh, saya dah lewat nak hadiri mesyuarat petang ni. Akak nak tumpang sekali ya?"

"Haah, boleh kan?"

"Boleh saja. Lagipun kereta ni kereta pejabat, mestilah untuk kegunaan bersama."

Setelah beberapa minit menanti di dalam kereta.

"Mana pula akak ni. Dah lambat ni."

Lantas tangan terus mendail nombor telefon akak X.

"Jom kak. Yus dah di kereta ni."

"Ok kejap ya."

Dari kejauhan aku melihatnya berjalan bagai itik pulang petang. Ya ampun, lemah gemalai lenggangnya.

Aku tersenyum. Sungguh unik Allah jadikan setiap ciptaanNya. Pelbagai sifat semulajadi yang menjadi rencah kehidupan.

Walaupun terlewat menghadiri mesyuarat pada petang itu, namun Allah sangat baik. Sesampainya kami di pintu hadapan bilik mesyuarat itu, ia masih belum bermula!

Alhamdulillah.

-------------

#JurnalPenulisan

#Peribahasa

#YusTulis

Jurnal #7 : Bukan kudis dibuat pekung

 


Assalamualaikum.

Jurnal Penulisan Ogos dengan peribahasa ke-7 iaitu BUKAN KUDIS DIBUAT PEKUNG. 

Maksudnya bukan perkara atau kesilapan kecil yang diperbesar-besarkan.

Daripada peribahasa ini, sememangnya bahasa melayu dahulu sangat kaya dengan kiasan dan adab. Untuk menyatakan maksudnya juga berlapik, pastinya keindahan bahasa melayu perlu dijulang ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk peribahasa ini, Yus bawakan contoh realiti yang sering berlaku kepada kita. Kadangkala situasi yang berlaku ini boleh mencetuskan perasaan rendah diri ataupun sikap saling membenci kepada mereka yang mula bersangka-sangka seperti bukan kudis dibuat pekung ini.

Suatu ketika, kita terlepas pandang terhadap sesuatu perkara (kerana ia suatu perkara yang sangat kecil dan mudah terlepas pandang dari mata kasar). 

----------
Contoh situasi : 

"Kau buat kerja macam mana ni? Selalu buat salah. Kalau kau yang 'handle' je, mesti ada silap. Aku nak lukisan yang belum tender ni nanti semua PPS kena semak sebelum hantar ke QS."

Begitu rendah, diri si Y diletakkan.

Walhal apabila disemak, terlalu sedikit kesilapan yang dibuat. Bukan sekali, malah berkali-kali semakan dibuat. Bukan sahaja di kalangan pasukan, malah semakan dibuat bersama pihak pelanggan juga.

"Mana ada banyak silap. Semua dah semak. Kita pun sudah buat pembetulan mana yang pihak pelanggan minta betulkan." jawab rakan sekerja yang juga pening dengan sikap ketua yang seorang ini.

"Iyalah. Kalau kerja di bawah si Y, memang banyaklah silap. Cuba kerja di bawah X atau Z, silap sedikit pun tidak nampak. Bukan kudis dibuat pekung. Begitulah." Kadangkala si Y cuba menyedapkan hati.

Kesimpulannya jika kita menjadi ketua, jadilah ketua yang adil. 

"Be a leader, not a boss."

P/s : Cerita ini rekaan semata-mata sebagai contoh menguatkan peribahasa ini.

----------

Hihihi...benda yang kecil diperbesar-besar. Walhal semua boleh diselesaikan dengan perbincangan dan santun antara satu sama lain. Barulah apa yang dilakukan lebih ikhlas dan gembira.

Chill.

Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
yusnorsyazanamy@blogspot.com




Ahad, 7 Ogos 2022

Pen Kesayangan

"Haura, mana pen mama?"

"Mana Haura tahu. (sambil matanya melilau mencari pen mama)

"Tadi kan Haura main pen mama. Adui, terbengkalai lagi la sketching mama ni." Walhal mama memang nampak dia main dengan pen kesayangan mama tu. Ke mana la dia campakkan pen tu. Haih!


Sehingga hari ini, mama pun terasa pelik ke mana perginya pen kesayangan mama tu. Ballpen je pun, tetapi mama sayang betul! Itu satu je mama bawa balik kampung.


Punyalah mencari, masih tidak berjumpa.

Nampak pula pen mata gel atuk. 

"Bolehlah ni."

Walaupun 'feeling' dia kurang sikit berbanding ballpen K-One tu, tapi okaylah untuk percubaan pertama kali di jurnal book ni.


😂😅


#YuszArt

#YusContengConteng

#jemarikerasku

Sabtu, 6 Ogos 2022

Jurnal #6 : Bulat segiling pecak setapik

 

















Alhamdulillah..Hari ke-6 bersama Jurnal Penulisan Ogos. Semoga istiqamah hingga ke akhirnya.

Peribahasa pada hari ini adalah BULAT SEGILING PECAK SETAPIK.

Siapa di antara pembaca yang pernah mendengar peribahasa ini? Secara jujurnya, Yus baru pertama kali juga mendengar peribahasa ini. Hihi. 

Okay, peribahasa BULAT SEGILING PECAK SETAPIK bermaksud telah benar-benar sangat sepakat. 

Kebiasaannya, peribahasa ini dikaitkan dengan kesepakatan di antara beberapa pihak bagi sesuatu perkara. Contohnya seperti situasi di bawah.

"Puteri, tadi pihak Putera datang meminang Puteri. Ibu harap Puteri menerima ya."

Puteri tersenyum tersipu-sipu malu. Malu tu kan 'tanda' setuju. Hihi.

"InsyaAllah ibu, Puteri terima."

"Alhamdulillah. Ibu dan Abi berdua pun bulat segiling pecak setapik. Lagipun Putera tu sangat baik budinya."

Haaa...itu contoh yang mudahlah. 

Moga perkongsian ini bermanfaat untuk kalian juga.

Salam sayang,

Yusnorsyazana Mohd Yunos

yusnorsyazanamy@blogspot.com

#Jomtulis

#YusTulis

#JurnalPenulisanOgos




Susu Ibu : Simpanan Susu Perahan



Alhamdulillah...hari ini masuk hari ke-17 berpantang. Bermaksud Nur Hadiya Hana juga sudah berumur 17 hari.

Sekejap sahaja masa berlalu. Anak yang diusung di dalam kandungan selama 37 minggu ini bersama pelbagai cabaran yang dibawa bersama (kencing manis, plasenta previa, tekanan darah rendah) telah selamat lahir ke dunia.

Okay, berbalik kepada topik asal hari ini iaitu BAGAIMANA MENYIMPAN SUSU PERAHAN.

Di dalam hantaran sebelum ini berkenaan 'Perlukah memerah sewaktu berpantang', Yus dah jelaskan mengapa perlu memerah walaupun bayi baru sahaja beberapa hari.

Bukan tujuan memerah (dalam waktu berpantang) untuk payudara menghasilkan susu melebih-lebih, cukup sekadar dapat keluarkan susu bagi sebab-sebab yang dinyatakan dalam post tersebut.

Apabila kita sudah memerah susu, bagaimana pula kita hendak menyimpannya? Yus kongsikan di bawah ini ya.

1) Susu yang diperah tersebut disimpan di dalam bekas yang sesuai (jumlah yang disimpan di dalam setiap bekas adalah mengikut kadar sekali bayi minum iaitu dua hingga empat auns)

2) Susu Ibu mudah dihadam. Bayi tidak akan minum dengan banyak dalam satu sesi penyusuan. Jadi perlu untuk ibu asingkan terus dalam jumlah yang sesuai dalam satu bekas.

3) Sekiranya kedua-dua payudara diperah serentak, susu tersebut boleh dicampurkan di dalam satu bekas yang sama. Contohnya, sebelah payudara dapat 2 auns dan sebelah lagi 2 auns. Jadi, dalam 1 bekas akan ada 4 auns.

Tips : Tinggalkan ruang udara sekurang-kurangnya satu inci di dalam bekas penyimpan susu kerana susu yang dibekukan akan mengembang.

4) Labelkan tarikh, masa perahan dan sekiranya perlu, tuliskan nama bayi (jika terdapat bayi lain di rumah pengasuh/taska yang menyusu ibu juga)

5) Susu yang diperah pada masa berlainan pada hari yang sama boleh dicampurkan di dalam bekas penyimpan yang sama. Syaratnya, kedua-duanya perlu disejukkan terlebih dahulu (suhu keduanya sama) sebelum dicampurkan.

6) Susu perahan boleh disimpan di peti sejuk yang ada di rumah / taska / tempat kerja.

7) Sekiranya tarikh ibu bekerja sudah hampir, susu yang diperah tidak perlu dibekukan. Memadai disejukkan di dalam chiller untuk kegunaan dalam masa terdekat.

Moga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat kepada ibu-ibu berpantang di luar sana.

Ingat, perah dalam waktu berpantang bukanlah untuk 'oversupply', cukup sekadar keluarkan bagi mengelakkan bengkak susu.

Salam sayang,
Yusnorsyazana Mohd Yunos
Kaunselor Laktasi

yusnorsyazanamy@blogspot.com

Jumaat, 5 Ogos 2022

Rezeki Jumaat : Drawing Contest

Alhamdulillah!

Harini bertarikh 5 Ogos 2022 bermaksud hari ini adalah hari pengumuman pemenang bagi pertandingan melukis anjuran MayPap Sdn.Bhd.

Lukisan bertemakan makanan tempatan Malaysia perlu dihantar sebelum 12.00 tengah malam 31 Julai 2022.

Sewaktu ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HSAJB) sebelum bersalin (12 Julai 2022 sehingga 23 Julai 2022) disebabkan oleh doktor mendapati kandungan Yus mengalami Plasenta Previa type III dan perlu ditahan di wad bagi pemantauan.

Disebabkan 'arahan' tiba-tiba tersebut, Yus diberi masa sehari sahaja (hari pemeriksaan di SCOG adalah pada 11 Julai 2022 bersamaan hari lahir suamiku) untuk bersiap-siap. Ada setengah bulan lagi untuk menyiapkan 'hasil kerja' bagi pertandingan melukis tersebut.

Bagi mengisi masa lapang selama seminggu itu, Yus bawa sekali peralatan lukisan. Maka, ketiga-tiga lukisan ini Yus lakar, lukis dan warna di meja sisi katil nombor 42, Wad Timur 3 HSA JB.

Alhamdulillah, antara tiga lukisan tersebut terpilih sebagai pemenang pertandingan yang dianjurkan! Pemenang semuanya hebat-hebat belaka. Hasil mereka memang 'superb'!





Subhanallah..
Alhamdulillah..

MasyaAllah..Tabarakallah..

Semoga ia akan menjadi inspirasi kepada Yus untuk berkarya.







Jurnal #5 : Bagai Hantu Makan Dedak




Jurnal Penulisan hari ini adalah berkenaan peribahasa 'BAGAI HANTU MAKAN DEDAK'.

Haaa...siapa seperti Yus? Pertama kali mendengar peribahasa ini.

Mula-mula seram juga apabila membaca peribahasa ini. Apa kena mengena hantu dengan dedak? Walhal jika secara logiknya, hantu itu kan 'syaitan'. Tapi apabila namanya pun peribahasa, pasti terdapat maksud di sebalik kiasannya.

Bagai Hantu makan dedak bermaksud bersungut-sungut dengan tiada tentu sebabnya. 

Yus teringat satu kisah ini, berlaku beberapa tahun yang lepas.

Aku berjalan dengan laju di sepanjang denai bersebelahan tasik di tempat kerjaku dahulu. Setiap pagi pastinya aku berusaha untuk datang awal dan berjalan sekurang-kurangnya 20 minit sebelum masuk waktu pejabat.

Berjalan sahaja. Tidak keluar dan tidak luak pun peluh di badan. Begitulah.

Suatu hari, ketika aku berjalan seperti rutin harianku, terdengar suara berbisik daripada orang yang melalui jalan yang sama ku lalui. Raut wajahnya berkerut-kerut, pastinya sedang menghadapi masalah atau isu di tempat kerja mahupun di rumah. Wallahu a'lam.

Sambil beliau berjalan, beliau turut bersungut-sungut tak pasti tentang apa dan siapa kerana tutur katanya tidak jelas di pendengaranku. Namun sudah cukup ku nilaikan dengan raut dan memek mukanya. Bagai hantu makan dedak rupanya waktu itu.

Sehingga sekarang, aku masih teringat-ingat dengan jelas wajahnya.

Mujur aku tidak kenal namanya. 

Biarlah. Moga selepas kejadian hari itu, beliau dinaungi dengan perkara yang baik-baik dan sentiasa berbahagia dengan kehidupannya.

Begitulah hidup ini, kadangkala kita suka bersungut dengan perkara yang remeh. Jika boleh diselesaikan, maka selesaikanlah dengan baik tanpa buruk sangka. Hidup ini jika kita pandang dengan sudut yang baik, maka baiklah ia dan jika sebaliknya, akan menjadi sepertimana yang kita fikirkan.

Ayuh! Terus pasangkan kekuda positif di dalam minda dan hati, InsyaAllah pasti hidup kita lebih seimbang dan harmoni. Kan?

Ok, bertemu lagi nanti di dalam jurnal seterusnya ya.

Salam sayang, 
Yusnorsyazana Mohd Yunos
yusnorsyazanamy@blogspot.com

#menulisdarihati
#YusTulis


PENYUSUAN SUSU IBU TANGGUNGJAWAB BERSAMA

"Aku dah tak menyusukan. Buat apa nak tahu pasal susu ibu?" Alamak, selalu betul Yus dapat pernyataan begini. Iya, memang benar se...